Select Page

Webnovel?

Bagi kebanyakan penulis di Malaysia, terutamanya penulis novel Melayu, Webnovel tidaklah sepopular Wattpad.

Tapi sebenarnya kalau ramai yang berani ambil peluang ini dan cuba menulis dalam Bahasa Inggeris, ia boleh menjadi sumber pendapatan yang konsisten buat penulis.

Kalau anda suka menulis genre fantasi, sains fiksyen, urban dan romantik, Webnovel sangat sesuai sebagai platform permulaan anda.

Webnovel

Webnovel ialah platform penulisan dalam talian yang dibangunkan oleh sebuah syarikat literasi gergasi China, Qidian International (di bawah Tencent).

Ia dilancarkan dengan misi untuk membawa konsep web fiction atau novel bersiri secara digital kepada pembaca di seluruh dunia.

Apa bezanya dengan penerbitan novel secara tradisional?

Biasanya, untuk menerbitkan novel secara tradisional, anda perlu menyiapkan paling tidak sebuah buku penuh dan lengkap terlebih dahulu.

Di webnovel, anda boleh terbitkan satu demi satu bab.

Anda yang tentukan jadual penerbitan anda. Satu bab sehari, satu bab setiap dua hari atau seminggu tiga bab.

Sebagai penulis, anda masih lagi mempunyai ruang dan peluang untuk mengubah jalan cerita anda berdasarkan maklum balas pembaca.

Webnovel merupakan sebuah platform penulisan dan pembacaan yang sangat sistematik.

Selepas anda mendaftar akaun, sebagai penulis, anda boleh terus mencipta novel baharu di bawah akaun anda di dalam sistem, memuat naik bab atau beberapa bab pertama dan tekan Publish.

Biasanya, anda perlu memuat naik sekitar 4,000 patah perkataan sebelum anda melalui satu proses dikenali sebagai Vetting Process.

Selesai semua ini, buku anda akan dimasukkan ke beberapa senarai berbeza yang akan memberikan buku anda awareness yang diperlukan untuk mendapat pembaca-pembaca baru.

Buku anda boleh menjadi lebih popular dalam beberapa cara seperti:

  • Power Stones (Item yang digunakan untuk mengundi buku anda.)
  • Add to Library (Konsep sama seperti pembaca Bookmark buku anda.)
  • Comments & Review

Lebih tinggi dan kerap tiga perkara di atas berlaku terhadap buku anda, lebih tinggi peluang untuk buku anda naik ke halaman utama dan lebih tinggi peluang untuk anda mendapatkan kontrak penulisan daripada Webnovel.

Kita akan bincang mengenai kontrak Webnovel dan potensi pendapatan sebagai penulis berkontrak dalam artikel lain.

Ia sebenarnya merupakan sebuah komuniti yang sangat besar antara penulis, pembaca dan juga penerbit.

Di ruangan komen, pembaca boleh berbincang, bergurau, atau kadang-kadang “marah” dengan plot twist yang kau cipta.

Bagi sesetengah penulis, interaksi tu sendiri jadi motivasi untuk terus menulis setiap hari.

Ia juga mampu menjadi platform untuk anda mendapatkan reader base yang sangat besar dan pendapatan yang sangat konsisten.

Menariknya di sini, anda boleh menulis apa sahaja genre yang anda suka. Pasti akan ada peminat dan pembaca selagi mana penulisan dan cerita anda menarik untuk dibaca.

Namun, jika anda benar-benar ingin memanfaatkan platform ini, genre yang paling popular dan sesuai untuk anda adalah:

  • Fantasy / Cultivation – kisah dunia magis, sistem kuasa, dan pertarungan.
  • Urban / System – dunia moden dengan unsur game, teknologi, atau sistem kuasa tersembunyi.
  • Romance – kisah cinta, sama ada ringan, lucu, atau penuh konflik.
  • Sci-Fi & Mystery – cerita dengan elemen masa depan dan misteri teknologi.

Macam saya, saya pernah menulis satu siri ini di Webnovel.

Novel ini berjaya mendapat kontrak dan saya berjaya mendapat pendapatan yang agak konsisten sebelum beralih ke buku lain. (Saya akan kongsikan kesilapan saya dan kenapa saya tidak teruskan siri ini di Webnovel).

Kita pun sudah hampir ke penghujung artikel. Jadi, saya nak buat ringkasan untuk anda.

Kenapa ramai yang bermula di Webnovel? Buku-buku anda sangat mudah untuk diterbikan. Tidak perlu tunggu siap satu buku untuk bermula dan anda tidak memerlukan editor atau penerbit besar.

Ada peluang pendapatan? Sangat besar. Anda boleh mendapat income yang besar dan konsisten sebaik sahaja anda mendapat kontrak daripada Webnovel.

Di sini juga anda mempunyai komuniti yang sangat aktif dan anda mampu untuk membina reader base yang sangat besar kerana pembaca anda datang dari seluruh dunia.

Selain itu, Webnovel juga sangat sesuai bagi penulis baru untuk mengasah kemahiran menulis dan paling penting, ia sangat sesuai untuk anda membentuk disiplin menulis.

Webnovel bukan sekadar platform buku atau penulisan. Bagi saya, ia merupakan sebuah “dunia” di mana anda sebagai penulis, dan pembaca bersama-sama “hidup” di dalam sebuah cerita yang sedang dibina hari demi hari.

Saya tak nafikan bahawa bukan semua pembaca baik. Ada yang berbeza budaya dan kepercayaan serta gaya hidup dengan kita yang akan menghentam anda seolah-olah merekalah yang terpaling betul, tapi, semua itu anda anggap sahaja sebagai asam garam dunia penulisan.

Jadi, kalau anda ada kemahiran menulis dalam Bahasa Inggeris atau ingin mencuba nasib cerita anda di dalam Bahasa Inggeris, inilah platform dan masa terbaik untuk anda lakukannya.

Sekian sahaja untuk perkongsian kali ini. Jangan lupa baca perkongsian seterusnya.

Semoga bermanfaat!